PENDANG – Seorang suri rumah terpaksa mengalami rugi besar apabila semua barang kemas miliknya rosak dan beratnya makin berkurangan setelah mencuba khidmat mencuci barangan berharga itu yang ditawarkan tiga individu, baru-baru ini.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, seorang lelaki dan dua perempuan menaiki sebuah kereta berwarna putih mendakwa datang dari Jitra, pergi ke rumah jirannya dengan menawarkan perkhidmatan mencuci emas dan turut menjual emas Korea.
Mangsa, Aishah Jaafar, 58, berkata, ketiga-tiga suspek datang ke rumah jirannya kerana ketika itu ramai penduduk kampung sedang mengadakan gotong-royong untuk majlis kenduri sempena jirannya yang ingin mengerjakan umrah.
“Mereka datang sambil menawarkan khidmat cuci emas dan menjual emas Korea pada kira-kira 20 penduduk wanita pada masa itu. Ketiga-tiga mereka meminta barang kemas dipakai beberapa penduduk untuk dicuci dengan bayaran hanya RM2 untuk satu barang,” katanya kepada Sinar Harian.
Aishah berkata, pada masa itu, salah seorang daripada suspek menarik tangannya dan meminta rantai tangan yang dipakainya untuk dicuci. Menurutnya, namun dia enggan memberikan barangan terbabit kerana bimbang ditipu.
“Selepas enggan memberi rantai tangan untuk dicuci, saya bertanya sama ada mereka boleh membaiki rantai tangan jenis batu yang putus. Mereka mengakui boleh melakukannya dan terus meminta saya mengambil rantai tangan itu di rumah.
“Disebabkan yakin mereka ingin membaiki rantai tangan itu, saya mempelawa mereka ke rumah saya dekat situ, sehinggakan saya cepat-cepat berlari balik ke rumah,” katanya.
Aishah berkata, tiba di rumahnya, dia segera mengeluarkan rantai tangan terputus itu dan memberikan kepada mereka, namun suspek memaklumkan ia tidak boleh dibaiki.
Katanya, dia seolah dipukau tiga individu terbabit apabila terus membenarkan mereka membuka semua barang kemas dipakainya, iaitu seutas rantai tangan dan rantai leher serta mengambil satu gelang lagi yang disimpan di dalam bilik untuk dicuci.
“Mereka memujuk saya agar semua barang kemas itu dicuci dengan bayaran hanya RM2 dan tiga barang milik saya dikenakan RM6. Mereka mencuci barang kemas dengan cara membakar semua barang kemas itu dan memasukkan semuanya dalam botol serta terus menggoncang kuat botol itu sehingga cecair di dalamnya menjadi warna kuning keemasan,” katanya.
Menurutnya, selepas proses itu dia tidak menyedari gelangnya rosak dan berat barang kemasnya makin susut hingga tiga individu itu beredar.
Aishah berkata, selepas kumpu-lan licik itu pulang, dia baru tersedar semua barang kemasnya menjadi ringan daripada berat asal.
“Gelang saya makin nipis dan rosak, rantai leher menjadi kecil dan bertukar warna hampir kelabu. Saya terkejut kerana semua barang kemas itu telah dibeli lebih enam tahun lalu dengan harga RM4,000 ketika itu, namun semuanya menjadi ringan. Saya cuba menimbang dan mendapati semua berat barang kemas itu hanya 10 gram,” katanya. Menurutnya, dia pasti tiga individu terbabit mencuri emas melalui cecair yang digunakan. Aishah difahamkan, tiga individu itu sudah tiga kali ke kampungnya menawarkan khidmat mencuci barang kemas dengan kenderaan berlainan kemungkinan mengelakkan penipuan mereka dikesan.
Anaknya yang enggan dikenali berkata, dia maklum isu ramai penduduk di bandar tertipu dengan servis mencuci emas dari rumah ke rumah, namun tidak menyangka ia turut ditawarkan di kampung.
- Sumber sinar harian.
No comments:
Post a Comment